Berikut adalah cerpen karangan saya yang ke tiga dan macam selalu spt dua yang lepas.. tak siap lg sebenarnya.. he3
Ini adalah kisah tentang saya yang tak lengkap. Yang secebis. Ini adalah kisah tentang secebis kehidupan daripada banyaknya kehidupan di duniawi ini. Seorang teman berhajat memberikan hadiah peta Malaysia kepada saya tatkala saya bergurau dengannya tentang banyaknya masalah yang perlu saya hadapi jika saya bersetuju dengan persoalannya. Soalan yang beribu-ribu darinya. Saya senang sekali berhadapan dengan soalan demi soalan darinya. Saya kira dia sememangnya berusaha menceriakan dunia saya. Seceria pelangi petang. Saya akui adakalanya gurauannya memang mengusik hati tapi manakan mungkin. Gurauan tetap gurauan. Terkadang saya agak gundah mengenangkan adakah bisa pelangi petang ini bertahan lama lalu cahaya-cahayanya bertebaran melingkari hidup saya dan menemani saya hingga akhir nafas atau adakah akan sebagaimana wajarnya hukum alam ini, hilang lalu berganti malam yang pekat gelap. Saya sedar kebimbangan saya ini tidak punya asasnya.
Maaf saya perlu melaritkan di sini beberapa bait lagu yang dinyanyikan oleh lagenda kita Allahyarham Sudirman Hj Arshad seperti berikut:
”Ku meniti awan yang kelabu, ku tempuhi lorong yang berliku, mencari sinar yang menerangi kegelapanku… ku percaya pasti suatu masa sang suriakan menyinar jua membawa harapan yang menggunung bersamanya. Engkau tiba bagaikan pelangi, tak bercahaya namun kau berseri, tapi cukup menghiburkan hati ini. Seharian waktu bersamamu, tak terasa saat yang berlalu… bagai pelangi petang kau kan pasti pergi jua”
”Lupakah engkau tentang peta Malaysia yang aku cerita dulu?” Manakan lupa. Peta Malaysia yang mewakili kehidupan penduduk Malaysia. Bayangkanlah, ada berpuluh juta rakyat Malaysia, masalah mereka lebih besar dan lebih rumit. Benar sekali, tidak di ambil kira penduduk Indonesia yang banyaknya melebihi sepuluh kali ganda rakyat Malaysia sendiri. Saya ketawa sendiri tapi sebenarnya saya insaf sungguh. Kegalauan apalah yang saya hadapi berbanding berjuta yang lain. Kemiskinan, kebuluran, kesengsaraan akibat bencana alam, perpisahan kematian, penderaan dan bermacam lagi. Saya tersenyum sendirian semalam bilamananya saya terlihat peta Malaysia tiap kali saya memasuki gedung-gedung buku. Gurauan-gurauan yang semata-mata gurauan sedang saya meletakkan makna atas segalanya.
Kelmarin dia bercerita tentang Bani Israel dan asal usulnya. Terima kasih tak terhingga. Benarlah beramal tanpa ilmu itu rugi. Saya berusaha memahami surah tentang nabi-nabi, cuba mengambil hikmah dan takjubnya kisah-kisah yang dikisahkan dalam Al-Quran itu tanpa pengetahuan lengkap. Sungguh dangkal saya ini dan akhirnya saya termangu-mangu sendiri.
Kaum manakah yang telah diberi nikmat makanan dari syurga manna dan salwa, dua belas mata air yang keluar dari perut bumi sebaik sahaja hentakan tongkat Nabi Musa, awan yang menaungi sepanjang perjalanan panas dan dijanjikan kitab panduan kalau bukan Yahudi. Kaum itulah dengan sedemikian kali nikmat yang diberikan, tetap juga kufur dan keingkaran demi keingkaran dilakukan. Kaum manakah yang menyembah lembu akibat fitnah Samiri, sedang Nabi Musa hanya pergi selama empat puluh hari, kaum manakah yang ditimpa sumpah menjadi kera dan kaum manakah juga yang meminta Nabi Musa untuk diciptakan berhala sedang kemenangan menentang Firaun baru sahaja dikecapi. Tentu sahaja Yahudi.
Tidak perlulah bukti nyata Palestine dan Baitul Maqdis yang diceroboh tanpa daulat. Penindasan etnik dan pembunuhan tanpa henti untuk kita membenci Israel dan Yahudi ini. Semenjak dahulu lagi, azalinya, Al-Quran telah dengan nyata mengecam mereka.
”Kau tak apa-apa?” tanyanya lewat perkhidmatan pesanan ringkas apabila saya berhenti kerja serta merta minggu sudah. Saya memberi jawapan yang panjang lebar sedang dia tidak langsung dapat melihat riak wajah saya sebenar. Sungguh, riak wajah saya adalah seperti yang saya beritahu. Saya tak mahu lagi memendam rasa. Jika saya kecewa tentunya saya berharap dia memahami. Adakah boleh dikira masalah jika hati saya setenang tali air buatan manusia di hadapan rumah ibunda dan ayahanda di kampung. Tidak mengalir deras menuju muaranya yang berpasir selut terpaksa dikumbah saban tahun agar melebar bukan mengecil laluannya.
Emak dan abah. Saya selalu dilingkari dengan rasa terkilan dan menyesal. Anak apalah saya ini. Tika saya memutuskan untuk menghadapi kenyataan peribadi, bukan soal rezeki tadi. Saya mencari-cari kepastian dari raut wajah mereka berdua. Wajah yang menggambarkan usia. Garisan lekuk yang melingkari kulit atau mudahnya kedutan-kedutan yang eloknya dibiarkan begitu. Jangan sesekali disuntik dengan cecair penegang yang memelikkan raut lagi artis-artis tua kita. Tidak termasuk Sarimah biduanita yang mengakui basuhan air sembahyang yang menyegarkan itu mungkin membuatkan wajahnya terus berseri. Ah! Biduanita itu memang cantik asli.
Cerita saya hanya secebis. Bila ada yang bertanya ”Engkau bagaimana? perpisahan itu bagaimana?”. Saya tidak pernah betah untuk menjawap tentang diri sendiri melainkan emak yang perlu saya pedulikan. Saya beritahu mereka, saya risaukan emak.. Bolehkah mak menerima kenyataan ini di samping mak menghadapi rencam-rencam lain lebih rumit dan memerlukan perhatian yang penuh. Saya tak perlulah menambahkan lagi episod beban yang harus ditanggungnya. Cukuplah, beberapa tika kemudian saya pasti mak memang luas pengalaman dan garam juga sudah terlebih-lebih di makan. Sangat memahami takdir hidup itu harus dihadapi bukan diratapi. Salah sungguh kenyataan ini. Saya yang baru tersedar hakikat itu sedang emak jauh dulu dari saya.
Pulang sekali sekala dengan wajah yang ceria sudah memadai buat mak. Ceria yang bukan dibuat-buat. Tak perlulah lari dari ketajaman naluri ibu tentang apa-apa sekali pun. Kelmarin dulu, saat mereka semua menyangka saya tersenyum girang dalam bahagia yang dinanti setiap insani, mak juga yang memerhati raut wajah saya sebenarnya berubah-ubah warna. Kata mak rona wajah saya sebentar merah, sebentar putih dan sebentar hitam. Mak.. sungguh saya mohon maaf tidak terhingga.
Nampaknya saya sedang menyingkap semula kisah peribadi yang telah menjadi silam itu, sedangkan saya sebenarnya sedang bermangu mencongak-congak adakah keputusan saya untuk bertemu dengan seorang teman saya yang akan melangsungkan perkahwinannya di musim lebaran ini wajar. Bertemu dengannya tentu sekali wajar. Bercerita tentang kegembiraan hidupnya kini tentu sekali wajar. Saya sedang menimbangkan sesuatu yang saya sendiri tidak pasti kenapa perlu saya menimbangkannya lagi. Alasannya baik-baik sahaja. Ya, adakah saya sedang memberi alas atau adakah itu hakikatnya. Alasnya adalah pertemuan saya dengan dia. Hakikatnya adalah pada pertemuan kedua dengan temannya juga. Saya tidak betah berbasi basi. Alas dan hakikat ini yang saya sedang timbangkan. Mempersoalkan kepada benak saya sendiri. Kegembiraan ini, kekuatan ini tidak wajar luntur walau apapun jawapannya. Kerana masa itu tidak pernah berhenti lalunya. Saya bukan lagi warga remaja. Saya adalah warga yang akan ditanyai di akhirat kelak ”Di manakah masa mudamu?”. Aduh, takut sekali. Dengan segala keterbatasan yang ada, saya masih lagi bernafas. Saya tidak boleh berlari dengan jawaban ”saya tiada masa muda. Maaf, saya sudah mati di usia remaja”. Oh, saya sedang berlawak bodoh.
Sudahlah. Saya tidak harus mengabui diri sendiri dengan alas dan hakikat yang saya reka untuk justifikasi hati dan perasaan saya yang mula bahagia. Kebahagiaan ini yang saya takuti. Takut-takut hanya khayalan dunia ciptaan saya sendiri sedang saya selalu dan sering sangat tersalah memandang hidup dan memberi erti kepadanya.
Ubatnya adalah pertemuan ini. Emak agak risau. Bimbang saya tidak mampu menghadapi hakikat andai dan jika kesan pertemuan yang saya cari-cari ini. Emak, sungguh, persahabatan ini berat maknanya. Kelukaan apa yang bisa diberi oleh seorang sahabat. Kelukaan kepada hati saya yang mula memesong. Aduh emak! bersungguh-sungguh mengingatkan saya tentang siapa saya kini.
Suatu tika, saya merasa saya telah melakukan terbaik untuk dunia saya dan mengakui kecintaan saya pada dunia yang saya ada. Dunia kecil yang membawa kaki saya melangkah panjang saban hari atas nama mencari rezeki dan dunia kecil saya yang dipanggil peribadi. Kedua-duanya telah tiada. Bukan bermaksud hidup saya sudah musnah dan gagal. Sekali imbas pada lahiriahnya, ya. Ada juga sekelumit dua terdetik di hati tapi saya buang jauh. Saya begitu butuh rahmat tuhan dan tidak sekali-kali meraguinya. Saya memberikan maksud kepada ketiadaan kedua-duanya sebagai suatu kemestian iaitu telah tiba kepada penghujungnya dan di setiap hujung, di situlah bermulanya langkah pertama. Saya menganggap takdir ini sebagai peluang untuk saya membina hidup baru, sepenuhnya baru. Kenapa harus saya memulakan langkah pertama saya dengan ratapan. Kata pendakwah dan pakar-pakar motivasi yang sering keluar dikaca televisyen, pabila bangun pagi kita hendaklah senyum lebih kurang 5 saat. InsyaAllah, hari kita akan gembira. Senyum yang datang dari hati gundah adalah kelat. Sungguh saya senyum dari hati yang setenang tali air di hadapan rumah emak dan abah. Senyum saya tidak segirang mana tapi saya kira senyuman saya tidak kelat.
Saya yang dengan naif lagi sedikit cengeng mengaku akan kecintaan saya pada dunia. Astaghfirullah, ampunkan saya Ya Rabb. Bagaimana saya bisa begitu lancang dengan pengakuan kecintaan ini sedang bagi yang sedar akan hakikat hidup ini, dunia hanyalah bangkai. Aduh! Saya tahu tapi tidak sedar. Saya kira dunia saya amat sempit untuk saya cintai lalu saya mencari apa itu cinta, apa itu bahagia, apa itu ikhlas dan apa itu mata hati. Saya percaya jawaban pada apa yang saya akui itu ada pada persoalan-persoalan tadi tetapi saya mula agak gugah dalam pencarian saya. Di gedung buku kelmarin, saya bertemu dengan tulisan-tulisan yang menarik tentang persoalan ”Siapakah saya?”
”Siapakah saya?” Buku itu saya tilik dan bacai dengan kemas dari halamannya yang pertama hingga akhir. Pengembaraan seorang puteri dalam mencari pengertian diri. Saya tidak menemui jawapannya kerana puteri tersebut tidak menemui jawapan yang dikehendaki. Tapi dia tidak pulang dengan tangan yang kosong saya kira. Ya.. perkiraan dan perhitungan peribadi tentang apa yang cuba disampaikan oleh penulisnya. Saya kira penulisnya telah berjaya membawa saya kepada kekeliruannya sendiri tentang siapa dirinya kerana saya mula keliru tentang diri saya sendiri.
Saya bukan siapa-siapa. Klise. Saya adalah saya. Klise juga. Saya hanya manusia yang seringkali melakukan salah dan silap dan saya selalu juga berharap peluang kedua, ketiga keempat dan seterusnya. Klise lagi. Saya manusia gembira. Juga klise. Saya manusia biasa-biasa. Klise.
Saya kira persoalan ini bukan persoalan yang tepat dalam mencari sebuah kehidupan. ”Siapa saya?” hanya menyingkap kisah-kisah lama tanpa henti lalu memerangkap diri kepada belenggu persoalan lepas yang sepatutnya saya ambil pelajaran darinya. Saya hanya ingin kehidupan yang baik. Sekali lagi, baik itu sungguh relatif sifatnya. Tidak berpaksi pada ketepatan atau kepastian ya atau tidak. Cukuplah baik pada pengertian saya dan semoga tuhan mengampuni dosa-dosa saya atas segala kekurangan. Saya adalah saya. Tak perlulah diterangkan lagi saya ini memang manusia kok! (kata tambahan dalam bahasa jawa seperti ’lah’ oleh masyarakat melayu). Akhirnya saya memilih juga kata-kata klise itu. Klise, yang lain juga telah, sedang dan akan pada bila-bila masa menggunakannya. Alasan pada penggunaannya masing-masing sahaja yang beri. Senyum sumbing saya lekatkan dibibir. Senyum sendiri-sendiri dengan hujah sendiri pada diri.
Teman saya menyatakan sesuatu yang tidak dapat saya responkan dengan baik lantaran saya begitu gembira untuk memulakan hidup baru yang sepenuhnya baru dari segala segi. ”Oh! Jadi yang lama-lama seperti aku ini kau hendak buanglah…” gumamnya. Aduh! Cukuplah engkau bercanda teman. Pastinya candaan juga yang saya ungkapkan kembali.
Saya teruskan dengan candaan dan gurauan. Mengharap makna-makna disebalik gurauan itu tidak diambil enteng lalu dilupakan begitu sahaja. Tapi sebaliknya saya juga dibalas dengan gurauan-gurauan yang serupa. Adakah dia memberi makna pada gurauannya atau saya yang tersalah memberi erti sekali lagi dalam banyaknya segi kehidupan yang saya lalui.
Alas dan hakikat. Mengapa perlu saya bimbangkan akan alas dan hakikat. Saya hanya terlalu bimbang. Mencari paksi agar tidak menjadi kesusahan orang lain dan tidak pula dipandang serong pada yang menghadapi kesan kepada alas dan hakikat yang sedang saya pertimbangkan. Sungguh, saya kira fikiran saya sudah masak.
Teman … teman. Jika tidak kerana keterbatasan langkah pastinya saya sudah berada di hadapan pintu rumahmu.
Seorang teman lain mengingatkan tidak salah untuk saya menuju kepada pelangi petang saya. Memang mustahil untuk digapai, jauh sekali untuk dimiliki. Kita semua sudah cukup dewasa untuk berbicara tentang kewarasan. Cuma metaforanya, saya harus memastikan adakah pelangi petang saya akan menjadi sinar suria yang memberikan saya kehidupan seterusnya hingga nafas saya berpisah dari jasad.
Emak meningkah. Bukan begitu. Terima kasih teman dan maafkan saya emak. Saya punya alasan saya sendiri. Demi diri sendiri dan hati sendiri. Jika ia harus tamat di sini, saya sudah cukup bahagia. Jika ianya satu titik permulaan, saya tentunya wanita paling bahagia. Jangan salah sangka. Saya tenang sekali. Mana-mana arah jalan hidup yang akan terjadi tentunya yang terbaik untuk saya.
Kekecewaan tidak akan sekali-kali bertapak di hati ini jika pelangi petang itu berlalu tanpa tebaran cahaya. Kerana kegembiraan yang dibawanya tetap berbekas di hati sama seperti bekas secebis kenangan comel pernah kami lalui dulu. Comel? Ya, saya kira amat comel. Memandangkan kepada mentahnya kehidupan diwaktu dulu itu. Kenangan yang menjadi ungkitan dan gurauan kami berdua. Manis belaka.
Kenangan manis itu ubat. Bukannya ubat pahit bagi calar balarnya luka lahiriah. Tapi ubat manis. Benarlah kata mak, hidup peribadi saya yang telah menjadi silam itu penuh dengan calar balarnya. Kenangan apa yang boleh saya sandarkan untuk memulihkan kembali sebuah bahtera. Lantas saya mendoakan kebahagiaannya di sini. Dari kejauhan ini saya berharap dia bertemu kebahagiaannya sama seperti saya berharap moga-moga pelangi petang ini adalah cahaya yang menemani saya sepanjang umur saya. Itu lebih baik, pesan mak.
Cukuplah dengan perenggan-perenggan di atas. Fikiran saya sudah masak. Untuk kesekian kalinya, saya perlukan kepastian sebelum semuanya bermula. Permulaan hidup saya kali ini biarlah dengan baik. Sejujurnya saya dengan semua pihak terutama orang tua saya sendiri. Saya tidak mahu membuat keputusan hidup yang terburu-buru dan salah lagi.
Saya insaf kini. Bahawa detik sekejap nanti dan esok benar-benar tidak bisa kita tebak. Rancangan kita bisa beraral sama ada melintang atau membujur adalah atas pengetahuan-NYA atas izin-NYA.
Congak dan hitung saya mudah. Jika beraral dan terhenti, pastinya hikmah ada di mana-mana. Keluasan rahmat tuhan tidak sekali-kali saya ragui. Jika diizinkan, sungguh segala puji-puji adalah bagi-MU.
4.35pm Isnin 3.8.09
Di balik mentari senja yang menyinar girang itu
Saya berdiri menghadapi terik yang tidak menyakitkan itu
Melainkan silau yang mengerenyitkan mata saya yang saya degilkan untuk tetap berhadapan dengannya
Sungguh, sebentar lagi malam
Saya tidak takut lagi akan kegelapannya
Cahaya saya ada di mana-mana
Menerangi segenap sudut hati
Hati saya yang milik-NYA
14.8.2009